Pernah perasan kitaran haid semakin tidak menentu? Atau berat badan naik walaupun sudah menjaga pemakanan? Mungkin ada bulu tumbuh di muka atau dada, atau anda sedang cuba untuk hamil tetapi belum berjaya. Anda mungkin sedang berdepan dengan PCOS, dan anda bukan bersendirian.
Apa itu PCOS?
Polycystic Ovary Syndrome (PCOS) atau Sindrom Ovari Polisistik ialah keadaan hormon yang biasa dalam kalangan wanita usia subur. Dianggarkan sekitar 12.6% wanita di Malaysia menghidap PCOS, dan sehingga 70% daripada mereka tidak tahu. Ramai hanya sedar selepas berjumpa doktor kerana masalah kesuburan atau haid.
PCOS berlaku apabila ovari menghasilkan hormon androgen secara berlebihan. Ini mengganggu ovulasi dan menyebabkan pelbagai simptom lain.
Tanda-tanda PCOS
- Haid tidak teratur atau jarang datang
- Berat badan naik dan sukar turun
- Jerawat teruk atau kulit berminyak
- Bulu berlebihan di muka atau badan (hirsutisme)
- Rambut menipis atau gugur
- Sukar untuk hamil
Risiko lebih tinggi jika ada ahli keluarga dengan PCOS, berat badan berlebihan, atau kencing manis dan rintangan insulin.
Cara PCOS dikesan
- Ujian darah untuk paras hormon testosteron
- Imbasan pelvis untuk melihat sista kecil pada ovari
Risiko jangka panjang
- Masalah kesuburan akibat gangguan ovulasi
- Kanser endometrium
- Kencing manis jenis 2 akibat rintangan insulin
- Penyakit jantung
Merawat dan mengawal PCOS
Tiada ubat yang menyembuhkan PCOS sepenuhnya, tetapi ia boleh dikawal. Pemakanan sihat dan senaman berkala membantu menurunkan berat badan, mengawal gula dalam darah dan mengembalikan kitaran haid. Doktor mungkin memberi pil perancang untuk mengatur haid, Metformin untuk rintangan insulin, atau ubat kesuburan untuk merangsang ovulasi jika anda cuba untuk hamil.
PCOS memang mencabar, tetapi ia bukan penamat kepada harapan untuk hidup sihat atau menjadi ibu. Lebih awal ia dikesan, lebih mudah ia dirawat.
Maklumat di laman ini adalah panduan umum dan bukan pengganti konsultasi dengan doktor.
